"Di saat tengah menarik oksigen, ada di antara
mereka telah menghembuskan nafas mereka yang terakhir, Al-Fatihah. Kita
yang hidup ni beringatlah.."
=================================================================================================
Kami bertemu 4 mata. Menyelami perasaan Jem yang mempunyai anak mengidap sakit jantung berlubang ditambah lagi komplikasi lain, tiub melingkari tubuh anak kecil itu, cukup hebat anak itu seiring dengan namanya, Kekuatanku.
Subhanallah.
Kami berkongsi cerita dan pengalaman. Mengembalikan semula ingatanku kepada detik kesukaran di dalam hidupku suatu ketika dahulu.
Satu persatu detik diceritakan Jem. Tiada yang tertinggal. Jem kelihatan begitu kental dan kuat menghadapi ujian ini. Sesungguhnya ujian yang diberikan Allah mendekatkan kita kepadaNya, kata Jem. Benar, amat benar Jem.
Sesekali aku memandang kepada penghuni kecil syurga Allah itu. Menemaninya ketika bondanya menunaikan kewajipan 5 waktu. Badannya masih lemah namun mampu membuka matanya. Subhanallah. Anak ini begitu istimewa di mataku. Sesekali aku mencium anak ini, "Adik kuat. Acik sentiasa doakan Adik sihat. Semua orang doakan Adik sihat." Airmata mula bertakung.
Tidak. Takkan ada setitik airmata pun akan tumpah di sini.
"Jem.. kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Andai Allah menginginkannya sihat, sekelip mata dia boleh sihat. Yang penting, jangan putus berdoa. Doa ibu sangat mujarab. Tapi andaikata sebaliknya, redhalah Jem kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk setiap hambaNya."
"Betul. Andai dia pergi dulu dia tunggu di depan pintu syurga kan?"
"Ya, janji Allah itu pasti. Tabah dan kuatkanlah semangat. Semangat itu bukan datang daripada manusia. Tetapi ia satu keajaiban luarbiasa yang diberikan Allah kepada hambaNya yang sabar dan redha dengan setiap ketentuanNya."
Sekali lagi, jangan ada setitik airmata pun tumpah di sini.
"Cuma kalau dia pergi.. mesti rasa sedih kalau nengok baju dia, mainan dia..."
Aku sebak dan tarik nafas panjang.
"Jem.. menangislah di hadapanNya. Dia Maha Mengetahui apa yang ada di dalam hati kita. Jem.. semua yang ada di muka bumi ini adalah pinjaman. Semua adalah milikNya yang akan diambil pada bila-bila masa sahaja. Waima kita sekalipun. Ganjaran pahala menanti kita Jem. Perasaan sedih pasti ada kerana kita hanya manusia biasa. Sedih apabila orang yang kita sayang pergi jauh daripada kita, apatah lagi andai anak yang pergi dulu sebelum kita. Tapi Jem.. ingatlah.. kasih sayang Allah itu mengatasi kasih sayang sesama manusia. Walau apa yang berlaku, kita tetap ada Allah. Walau tiada sesiapa di sekeliling kita, kita tetap ada Allah Jem. Allah sentiasa ada bersama kita."
"Betul. Terima kasih."
Jem memelukku erat. Lama. Aku tahu apa yang dia rasa kerana aku jua pernah merasa.
"Hanya orang yang pernah sakit je yang dapat memahami dan menyelami hati pesakit kan.."
"Ya Jem. Dan yang lebih utama. Allah sangat memahami perasaan kita. Allah sesekali tidak akan mengabaikan hambaNya Jem."
Agak lama kami menyelami perasaan masing-masing. Berat kakiku melangkah keluar meninggalkan Jem dan anaknya. Ayat Kursi kubaca dan kuhembuskan kepada insan comel, Azri Irfan. Semoga Allah mengurniakan yang terbaik buat Azri Irfan.
Setibanya aku di kereta, berhamburanlah airmata tanpa henti.
Sedih mengenangkan si anak kecil yang diuji.
Tapi sebenarnya.. tangisan itu adalah kerana hiba dan rasa malu pada Allah.
Sayangnya Allah pada aku. Sayangnya Allah pada aku. Diberi peluang sekali lagi kepada aku untuk beribadat kepadaNya. Tiada yang lain, hanya Allah. Hanya Allah. Benar kata Jem,
"Hanya orang yang pernah sakit je yang dapat memahami dan menyelami hati pesakit kan.."
Kesukaran, kekuatan, kekentalan itu adalah milik Allah. Dikurniakan kepada manusia ujian agar manusia berfikir akan kekuasaanNya.
Ya Allah.. Engkau ampunilah dosa hambaMu yang hina ini..
2 comments:
Segala puji bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam...
Terima Kasih nono atas perkongsian...
Ujian sakit adalah guru yang tidak bercakap, tetapi ia sangat mengajar dan mendidik. Ujian terkecil apalagi terbesar adalah takdir Allah..
tapi kadang2 tanpa kita sedar, tuhan sentiasa menguji kita. Nikmat sihat itu satu ujian... meski kita tidak merasainya..
Berfikir secara waras bahawa ketentuan Allah SWT mempunyai seribu satu sebab yang terkandung hikmah dan pengajaran.
Cuba menilai mengapa sesetengah manusia diberikan ujian terlalu hebat oleh Allah SWT?
Mengapa sesetengah yang lain diberi rahmat dan rezeki yang tidak putus-putus?
Allah Maha Besar... Allah Maha Mengetahui... ALLAHUAKBAR
Post a Comment