"Iblis berkata, 'Ya Tuhanku, oleh kerana Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya.'"
(Al-Hijr : 39)
(Al-Hijr : 39)
========================================================
Taman perumahan aku kat Terengganu merupakan taman perumahan orang berada. Maklum sahajalah, perumahan dalam bandar Kuala Terengganu. Satu ketika dulu kalau nak cari SUK Terengganu, Dato' sana, Datuk sini, banglo mewah sana sini, kereta menjalar, kat taman aku tulah. Tapi itu tak terpakai untuk kami. Kami dari kalangan golongan sederhana sahaja. Arwah Ayah beli tanah kat situ kerana ia berada di dalam bandar, banyak kemudahan.
Mula-mula rumah kami naik tahun 1976 dulu, arwah Ayah nak dirikan surau. Kata arwah, mana sahaja kita duduk pastikan ada tempat untuk beribadat. Kalau takde, kita kena cuba usaha untuk mengadakannya. Ramai yang tak bersetuju. Ada yang kata Masjid Ladang dah ada, dan macam-macam alasan lagi. Memang Masid Ladang tu tak berapa jauh dari taman perumahan kami tetapi dengan adanya surau, ia akan mendekatkan penduduk taman tu dengan Allah, kata arwah Ayah.
Arwah Ayah tetap berkeras untuk mendirikan surau. Katanya kita buat kerana Allah. Jangan takut. Allah pasti tolong kita. Kebetulan masa tu memang arwah bekerja di Pejabat Ugama Terengganu. Jumpa orang ni, jumpa orang tu, tunjuk proposal. Dan itulah antara sifat arwah Ayah aku. Berani. Berani kerana Allah. Alhamdulillah.. niat tersebut terlaksana.
Dan kerana sifatnya itu jualah, ke mana sahaja dia pergi ada sahaja orang yang mengenalinya. Malangnya sifat tu tak tumpah pada kelima-lima orang anaknya..
Arwah Ayah carikan imam kat surau tu sementelah arwah merupakan imam di masjid lain. Jadual seminggu amat padat. Tiap-tiap malam arwah menjadi imam di masjid dan surau sekitar Kuala Terengganu.
Arwah Ayah carikan guru mengaji untuk mengajar anak-anak kat taman perumahan tu. Ustaz Haji Daud namanya. Ustaz Haji Daud pernah menjadi juara musabaqah peringkat antarabangsa tahun berapa aku tak ingat. Tapi aku tak lupa kenangan kami kawan-kawan setaman mengaji dengan beliau..
Alhamdulillah daripada tidak bersetuju pada mulanya, surau tersebut makin ceria dan ramai sekali jemaahnya. Surau tersebut jua menjadi landmark bagi sesiapa yang datang ke taman kami.
Kawasan surau yang sangat lapang membolehkan taman permainan kanak-kanak turut didirikan di situ. Begitu juga padang bola. Malah padang bola itulah antara tempat latihan pemain bolasepak Terengganu dulu. Ahmad Paijan, Nasir Jalil.. secara tak sengaja arwah Ayah berjaya menarik bukan sahaja penduduk taman malah orang luar untuk sama-sama mengimarahkan surau tersebut.
Disebabkan jemaah semakin ramai, surau dibesarkan lagi. Surau menjadi makin mewah sementelah ramai orang berada di taman tu. Kos membesarkan surau ditanggung mereka. Penyaman udara dipasang. Bil elektrik dan air dibayar oleh orang-orang kaya taman tu. Surau menjadi surau mewah!
Dan kini, surau tersebut telah dinaiktaraf kepada masjid. InsyaAllah kepulanganku ke kampung halaman pada 2 Syawal nanti akan menyaksikan kehadiran masjid baru.
Masih terbayang kenangan kami semasa kecil di situ. Kenangan sembahyang bersama-sama, main bersama-sama.. sesungguhnya benarlah kehadiran surau akan mempereratkan tali silaturrahim sesama manusia.
Ayah.. sesungguhnya usaha Ayah telah membuahkan kejayaan. Semoga Allah merahmati Ayah dan roh Ayah digolongkan di kalangan orang-orang yang beriman.
No comments:
Post a Comment