Thursday, June 02, 2011

hari ini dan semalam last episode

"Apa sahaja yang Allah anugerahkan kepada manusia berupa rahmat, maka tidak ada seorang pun yang dapat menahannya; dan apa sahaja yang ditahan oleh Allah maka tidak ada seorang pun yang sanggup untuk melepaskannya sedudah itu. Dan Dialah Yang Maha Bijaksana."

(Fathir : 2)

==========================================================

Tiada airmata ketika menjalani rawatan. Tiada jua kesakitan yang kurasai. Tiada jua perasaan sedih. Sesungguhnya apa sahaja yang dimiliki adalah bersifat sementara. Tiada yang kekal abadi. Begitu jua dengan diriku. Aku adalah milik Allah. Bila-bila sahaja masa dan ketika Allah berhak ke atas diriku.

Sungguh aku katakan kekuatan itu hanya datang daripadaNya. Yang penting sentiasa yakin kepadaNya. Kuatkan semangat. Semua ini telah tersurat. Sebagai hamba kita perlu berikhtiar. Selebihnya kita serahkan kepada Yang Maha Esa kerana Dia Maha Mengetahui yang terbaik untuk kita. Andai hanya setakat itu umur yang dianugerahkan, bersedialah untuk bertemu denganNya. Sungguh aku katakan pada ketika itu aku amat rindukanNya. Aku amat berharap dapat bertemu dengan arwah ayah. Sungguh.

Dan kini.. Allah telah menyembuhkan aku.



Ujian yang datang adalah untuk mengejutkan aku. Supaya sedar bahawa aku pernah menyimpang dari jalanNya. Dan Allah sangat menyayangi aku. Allah sangat menyayangi aku. Kerana itulah di'tarik' aku kembali kepadaNya dengan diberikan ujian. Subhanallah.. airmataku makin laju tanpa henti.

Terasa diri ini begitu kerdil. Langsung tidak bernilai di sisiNya. Walaupun tidak bernilai tapi kasih sayangNya tak bertepi. Walau sering berbuat dosa tetapi kasih sayangNya sentiasa ada untukku. Rezeki yang diberikan sentiasa melimpah ruah. Subhanallah.. Subhanallah.. sesungguhnya Engkau Maha Pemurah Ya Allah. Walau selautan nan luas kujadikan dakwat untuk menulis zatMu ia masih belum mencukupi. Walau kubilang bilangan butir-butir pasir yang Engkau ciptakan masih belum mampu menampung zatMu itu. Walau seisi dunia sekali pun.. Subhanallah..

Ujian yang diberikan terlalu kecil jika hendak dibandingkan dengan ujian yang menimpa hambaNya yang lain. Setidak-tidaknya aku masih diberi peluang untuk bertaubat dan melakukan yang lebih baik daripada hari semalam.

Ujian yang datang sesungguhnya banyak merubah hidupku. Banyak. Subhanallah.. airmata ini terlalu sukar untuk dihentikan. Biarlah aku menangis. Biarlah aku menangis tanpa henti. Aku menangis keranaNya. Kerana kasih sayangNya. Biarkanlah aku menangis.. elok benar aku berada di lorong paling kiri.


Mengenangkan segala kurniaan Allah, segala nikmat dan rezeki yang diberikan kepadaku. Tidak pernah Dia menghampakan aku. Tapi aku? Banyaknya dosaku padaNya..

Ya Allah.. aku bermohon kepadaMu.. peliharalah hambaMu ini. Peliharalah keluarga dan zuriatku daripada segala keasyikan dunia. Selamatkanlah zuriatku. Cintakanlah mereka kepadaMu. Cintakanlah mereka kepadaMu Ya Allah. Hanya itu pintaku yang satu kerana kutahu.. mencintaiMu itulah kunci segala kesejahteraan di dunia dan akhirat. Bantulah hambaMu ini Ya Allah..

No comments: