“Dan
(ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan
kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan Akhirat) tidak lain
hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri Akhirat
itu adalah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui
(hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari Akhirat”.
(Al-‘Ankabut : 64)
===============================================================================================
Allahuakbar.. lamanya tak menulis. Itulah yang dikatakan lapang sebelum sempit.. 5 sebelum 5..
Macam-macam yang berlaku untuk dijadikan ingatan dan panduan buat diriku yang sering lalai dan alpa..
23 Oktober 2013..
Kembalinya ibu mertuaku menemui Maha Pencipta. Innalillahi wa inna ilahi roji'un. Hingga hari ini aku masih terkesan dengan pemergiannya. Walau dia bukan ibu yang melahirkan aku, tapi dia insan yang cukup baik. Sangat baik. Orangnya sangat rajin. Pantang duduk diam, pasti ada sahaja aktiviti yang dilakukan. Bangun seawal pagi menunaikan hak kepada Maha Pencipta, menyediakan sarapan pagi buat anak cucunya dan terus menjalankan aktiviti luar.. menyapu, berkebun,..
Setiap kali aku pulang, pasti ada bekalan untuk kami. Masakannya cukup sedap, sangat sedap. Masak lemaknya, rendang pegaganya.. dan segala masakan air tangannya.. MasyaAllah..
Dia jualah yang menjaga Abang Naim dan Kak Najwa ketika aku dalam pantang sementelah Mak aku dah tak berapa kuat. Dialah yang menjaga Kak Najwa ketika di hospital sewaktu aku menjalani rawatan. Allahuakbar..
Aku melihat jasadnya dimandikan, bersih airmukanya. Aku melihatnya jasadnya dikebumikan.. hujan di hati ini, hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Hingga kini.. masih terbayang di ruang mataku.. riak wajahnya, senda guraunya..
Aku yang hanya sempat menjadi menantunya kurang lebih 11 tahun pun sudah merasai begini, apatah lagi anak-anaknya yang memanggilnya 'Mak'..
Bukan hanya kesedihan kehilangan orang yang disayang, tetapi ketakutan turut menyelubungi apabila mengenangkan.. satu hari aku jua akan ke sana.. mengenangkan bekalan yang bakal kubawa.. Allahuakbar..
Banyak yang bermain di hati dan fikiran tapi jari-jemari ini terlalu sukar untuk mengungkapkannya. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.
Tenanglah Mak di sana. Semoga roh Mak ditempatkan di kalangan hamba-hambaNya yang beriman. Al-Fatihah.
No comments:
Post a Comment