"Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh
kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin
mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta
beroleh keredhaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah
adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya. "
(Al-Ankabut : 69)
===================================================================================================
Al-Fatihah buat Adik Azri Irfan. Setelah menanggung penderitaan lebih kurang setahun 4 bulan akhirnya Adik Azri Irfan telah pergi menemuiNya Jumaat lepas.
Takziah buat Jem dan suami. Insan yang disayangi ialah insan yang diuji Jem. Azri menunggu Jem dan suami di pintu syurga. Subhanallah.. besarnya rahmatMu walau kesukaran dirasai di dunia tetapi kesenangan dinikmati di 'sana'.
Pemergian Azri Irfan masih lagi aku terasa hingga ke hari ini. Walaupun arwah bukanlah anakku tapi dia cukup istimewa di mataku. Cukup istimewa. Aku tak lupa Februari lepas aku melawat Azri di hospital. Allah telah menitipkan rasa sayang aku pada anak ini. Ya Allah.. ini hanyalah perasaanku yang baru pertama kali melihat Azri. Sudah pasti kehilangannya amat dirasai oleh Jem dan keluarga.
Sabtu lepas sewaktu kami menziarahi Jem dan keluarga, satu persatu diceritakan Jem. Daripada hari pertama arwah dimasukkan ke hospital, saat arwah kritikal, sehinggalah doktor mencabut kesemua tiub yang menyambung ke tubuh arwah kerana pada ketika itu peparunya cukup ketat dan arwah dipangku ibunya, Jem. Itu petanda bahawa Azri memang sudah tidak mempunyai peluang lagi. Kata Jem, "Kalau ikutkan hati memang aku nak pangku dia dari awal tapi tiub banyak pada badan dia, sehinggalah doktor mencabut kesemua tiub tu." Pada ketika itu saudara terdekat membacakan ayat suci Al-Qur'an tapi kata Jem dia dah tak mampu pada ketika itu. Hanya airmata berlinangan. Ya Allah..
Tapi Jem cukup tabah dan kuat. Sesungguhnya kekuatan itu hanya dari Allah. Di kala diceritakan situasi tersebut, matanya hanya berkaca, tiada setitik airmata pun yang mengalir. Itu sudah cukup kuat. Tiga lagi sahabat aku yang datang menziarah memang dah tak dapat kawal. Masing-masing dengan tisu masing-masing.
Kata Jem lagi, arwah meninggal bukan kerana kegagalan jantungnya tetapi peparunya yang sudah tidak berfungsi lagi. Jantungnya masih berdegup tetapi amat perlahan di saat fungsi peparunya semakin menurun sehinggalah jantung itu berhenti berdegup.
Dan.. di pangkuan ibunya itulah arwah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Innalillahi wa inna ilaihi roji'un.
Allahuakbar. Sebagai seorang ibu, tak dapat aku gambarkan perasaan Jem pada ketika itu. Tapi berkat iman yang utuh di dalam jiwanya, Jem begitu tenang, sabar dan redha dengan ketentuan Ilahi.
Di antara perkongsian Jem, satu peristiwa yang paling memberi makna dan terkesan dalam jiwa aku ialah apabila Jem berkata, di akhir hayat Adik Azri, ada satu ketika mata Adik Azri memandang ke satu sudut dan bibirnya mengukir senyuman walhal pada ketika itu dia sedang sakit. Tidak siapa mengetahui apakah yang membuatkannya begitu seronok. Mungkin janji Allah untuk dia menjadi penghuni syurgaNya telah dapat dilihat oleh Adik Azri. Subhanallah..
Alangkah beruntungnya dia, alangkah beruntungnya Jem dan suami.
Berbahagialah dirimu di sana nak. Tiada lagi kesakitan yang engkau rasai. Tiada lagi penderitaan yang kau alami. Sesungguhnya dirimu telah menjadi ahli syurga nak..
Aku menjadi takut mengenangkan nasib aku di sana..
Ya Allah.. sesungguhnya semua ini hanyalah pinjaman.Tiada yang kekal abadi. Semua akan kembali kepadaNya. Berikanlah hidayah kepadaku dan janganlah Engkau pesongkan hatiku setelah Engkau memberikan hidayah kepadaku.
No comments:
Post a Comment