"Dia memberikan hikmah kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Barangsiapa diberi hikmah, sesungguhnya dia telah diberi kebaikan yang banyak. Dan tidak ada yang dapat mengambil pelajaran kecuali orang-orang yang mempunyai akal yang sihat."
(Al-Baqarah : 269)
================================================================================================
Lama sungguh tak menulis. Dah sebulan lebih rupanya. Bukan taknak menulis. Jari-jemari yang tak berapa nak runcing ni (syukur Alhamdulillah, biarpun tak runcing jari kurniaan Allah inilah yang menyumbang bakti untuk insan yang berumur melebihi 3 dekad ini) tergedik-gedik nak menulis. Tapi ditahan kerana dihambat oleh perjuangan yang belum selesai.
Dan kini.. jari-jemari ini menari lagi di atas papan kekunci.
Seringkali idea datang mencurah-curah ketika aku memandu bersendirian. Pulak.. memandu di malam hari. Wahh.. memang layan blues sungguh di kala begitu. Ditambah pula ada background. Baik dari ayat suci Al-Qur'an, ceramah agama, nasyid, tak terkecuali muzik retro. Semua aku hayun.
Bacaan ayat suci Al-Qur'an dan ceramah agama dah masuk kategori wajib didengar.
Nasyid juga sedemikian. Terkadang bisa membuat aku mengalir airmata. Hiba mengenangkan ujian yang Allah kurniakan kepadaku, hiba dengan anugerah yang tak terhingga buat aku, hambaNya yang sering melakukan dosa ni. Semua tu membuatkan bertambahnya syukur aku pada setiap anugerah dan ujian daripada Allah yang sangat-sangat menyayangi aku.
Lagu retro.. apa rasional aku layan yek? Ohh.. ini mengembalikan nostalgia kehidupan aku di zaman kanak-kanak. Zaman yang cukup manis dalam hidup aku. Cukup manis. Hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Bila kenangkan zaman tu jugak baru terasa betapa pantasnya masa berlalu. Usia mengejar kita.. membuatkan aku merasakan kehidupan bukanlah panjang lagi buat aku..
Kata orang jangan dikenang peristiwa lampau. Tapi pandangan sisi aku.. perlu kenang masa lampau supaya kita sentiasa sedar siapa diri kita sebenarnya. Dari mana asal usul kita. Jangan sesekali lupa asal usul diri. Itu jatidiri. Setinggi mana jawatan kita sekarang, sebanyak mana harta yang kita ada, semewah mana kehidupan kita, kita hanyalah insan kerdil yang tak punya apa. Semua ini pinjaman daripada Allah yang satu hari nanti akan diambil semula oleh pemiliknya. Itu yang membataskan kita bertindak di luar kawal.
Cuma mengenang itu biarlah ada batas. Janganlah dok asik terkenangkan masa lampau hingga dibuai kenangan yang tak sudah. Itu macam kalu.. kena nyanyi lagu Mimpi Yang Tak Sudah. Kan dah lagu retro lagi tu.. ;-)
Cukuplah mengenangkan waktu lampau tu seketika sahaja. Buat aku, cukuplah 30 minit sepanjang perjalanan aku dalam kenderaan yang jua pinjaman daripada Allah. Selebihnya gunakanlah masa dan ruang yang diberikan menghadapi kehidupan yang penuh cabaran ini dengan penuh ketaqwaan.
Semoga hidup ini diberkati Allah swt.
No comments:
Post a Comment