Monday, August 08, 2011

mati?

"Jika Allah mencintai seorang hamba maka Dia berfirman : Wahai Jibril sesungguhnya aku mencintai si fulan maka cintailah dia."

(Riwayat Imam Ahmad)

=======================================================

Entry ni panjang.

Semalam x-upismet aku, Kak M mesej, nak
call aku esok (hari ni). Tanya whether aku free ke idak. Aku ok je. InsyaAllah. Pandai-pandailah aku manage time. Orang perlukan bantuan, kita mesti tolong. Itu pesan arwah Ayah. Lagi pulak Kak M memang baik ngan aku.

Saspen jugak. Apa la yang Kak M nak tanya nih. Nak tanya pasal jodoh, aku dah bertemu jodoh. Ke nak tanya cemana nak murahkan rezeki? Tu bolehla aku kabo.. amalkan baca Surah Al-Waqi'ah dan solah sunat dhuha. Ke nak tanya pasal doa pelembut hati? Rasanya aku pernah kabo doh ke Kak M. Ish.. jenuh la aku dok meneka.

So petang tadi Kak M call aku. Cam biasa memulakan bicara kami lebih banyak berseloroh dan bergelak ketawa. Kak M memang begitu. Happy go lucky la katakan. Akhirnya tujuan penggilan tiba jua.

Kanser. Itu tajuk utama.

Kak M minta nasihat aku, cemana dia nak nasihat kakak ipar dia yang suspected mengidap kanser.

Aku cuba sedaya upaya membantu. Walau hanya dengan memberi nasihat. Aku bersedia untuk berkongsi saat getirku itu. Malah aku enjoy dapat membantu pesakit kanser. Memberi kata semangat, menggembirakan mereka. Aku memang suka. Entah bila aku nak join MAKNA ni.

Kunci utama bagi setiap permasalahan ialah semangat. Semangat diri sendiri ialah ubat yang paling mujarab.

Kenapa orang takut menerima kenyataan bahawa dia sakit? Kenapa orang takut kanser? Sebabnya hanya satu.. takut mati. Sape tak takut mati kan. Semua orang takut sebab semua orang merasakan belum bersedia untuk menemuiNya. Bekalan masih belum cukup. Tak taulah bila akan cukup. Sampai bila-bila pun rasanya takkan cukup. Sebab setiap hari sering melakukan dosa.

Bila berada dalam keadaan camtulah manusia akan hilang semangat, putus harap. Hidup seolah-olah tidak lagi bermakna.

Permulaan bicara.. aku cuba berkongsi perasaan pesakit kanser supaya dia merasakan she's not alone in this world.

Memang mana-mana pesakit pun, akan ada era di mana tidak dapat menerima kenyataan bahawa dia sakit, lebih-lebih lagi pesakit kanser. Ditambah lagi pertumbuhan kanser ni terlalu cepat. Sekelip mata perubahan stage menyebabkan pengidapnya sengsara (aku sendiri pun hanya mengambil masa 4 bulan perubahan stage 2 to stage 4). Menakutkan. Ditambah pula dengan istilah kemoterapi, radioterapi.. muntah, botak.. jiwa seakan meronta. Tolong!!

Persoalan mula timbul. Kenapa aku? Apa dosa aku? Ramai lagi yang lebih teruk dari aku di luar sana tetapi kenapa diorang tu ok je? Tak pulak sakit? Malah bersenang-lenang di luar sana..


Bila dah pikir camtu, istighfarlah banyak-banyak kerana percaya kepada qada' dan qadar adalah merupakan Rukum Iman yang keenam yang wajib kita percaya. Jangan ditakwil takdir yang telah disuratkan Allah. Redha. Itu penting. Tapi dalam pada redha, sebagai hamba Allah kita perlu berikhtiar. Jangan hanya duduk berdiam diri. Itu pasrah namanya.

Said is always easier than done. Bila kita berada di tempat begitu, bukan senang untuk menerima kenyataan bahawa diri kita tidak seperti diri kita yang sebelumnya. Dan kita tidak seperti orang lain. Menerima kenyataan bahawa kita sakit ini bukan perkara mudah. Atau dengan bahasa mudahnya.. memiliki perasaan redha bukanlah perkara mudah. Mulut mampu mengucapkan redha tapi hati terkadang masih belum mampu untuk menzahirkannya. Akan ada waktu di mana kita tidak mahu berjumpa sesiapa, kemurungan, dan sikap negatif mula tumbuh dalam diri. Itulah era yang harus dijauhi.

Era untuk menerima kenyataan itu bergantung kepada individu. Semakin dia mendekati Allah semakin cepatlah perasaan redha itu datang. Ia berkadar terus.

Jadi bagaimanakah cara untuk memperoleh rasa redha? Hanya satu jawapannya. Dekatkan diri dengan Allah. Itu syarat wajib.

Lawan perasaan malas. Perlu bangun malam, tunaikan tahajjud, tunaikan solah hajat, tunaikan solah taubat, mengaji Al-Qur'an sentiasa (jangan miss walau sehari), banyakkan berdoa, banyakkan membaca buku-buku agama. Menangis, merintihlah sepuas hati kepadaNya kerana Dia Maha Mendengar. Dia Maha Penyayang. Dia Maha Mengetahui apa yang ada di dalam hati hambaNya. Keluarga, sahabat handai mahupun harta yang menimbun tidak dapat membantu melainkanNya.

Bersangka baiklah dengan Allah. Allah sesekali tidak akan menyiksa hambaNya. Kerana Dia Maha Penyayang. Ada sebab Dia menguji kita. Mungkin Dia ingin memberikan kita pahala dengan demikian cara. Mungkin juga sebagai kifarah di atas dosa-dosa kita yang lampau.

Bila kita lakukan semua itu kerana Allah.. satu perasaan magis akan datang. Perasaan tenang, redha, hidup matiku hanyalah kerana Allah. Perasaan kerinduan pada Allah makin menebal. Perasaan cinta pada Allah sudah tidak dapat dibendung lagi. Biarlah aku kehilangan seisi dunia sekalipun, Allah tetap bersamaku. Allah sentiasa ada bersamaku. Tidak mengapa andaikata Allah ingin menjemput aku. Kerana semua ini hanyalah pinjaman. Semua ini adalah milikNya. Dia berhak ke atas setiap sesuatu. Dia berkuasa untuk mengambil aku kiranya Dia inginkan begitu. Inilah yang dikatakan redha.

Perasaan ini tidak boleh dijualbeli. Tidak ada di pasar, tidak ada di shopping complex, tidak ada. Carilah walau di mana, tidak akan kita ketemu melainkan kita melakukan perkara-perkara di atas kerana Allah. Tidak dapat diceritakan betapa lazat dan nikmatnya perasaan itu melainkan empunya diri yang mengalaminya.

Yang penting, masa yang ada diusahakan ke arah yang terbaik. Ikhtiar. Jangan hanya berdiam diri, jangan pasrah. Islam melarang umatnya pasrah menghadapi dugaan hidup. Usaha untuk berjumpa dengan alim ulama' seperti Ustaz Haron Din, dan ramai lagi yang ilmunya di dada yang ikhlas mengubati orang sakit. Alim ulama' ni wangian Allah di dunia. Dekati mereka. Tapi perlu diingat. Mereka jua manusia. Mereka hanya berusaha untuk mengubati. Jangan bergantung dengannya. Bergantung hanya kepada Allah.

Dalam masa yang sama, ikhtiar sendiri juga boleh dilakukan. Amalkan meminum air zam-zam. Kalau takde air zam-zam, air masak biasa pun boleh. Tapi sebaiknya air zam-zam. Setiap kali meminum air bacakan Ayat Syifa' dan hembuskan kepada air tersebut. Niatkanlah apa yang ada di dalam hati. Yakin akan kuasa Allah. Yakin hanya Allah yang dapat mengubati kita kerana Dia Maha Pencipta. Allah Maha Mendengar rintihan hambaNya.


Seharusnya kita bersyukur diberikan ujian kerana itu tandanya Allah sayangkan kita. Diberikan amaran terlebih dahulu supaya kita bertaubat. Diberi ruang dan peluang untuk mendekatiNya. Bukan semua orang diuji begitu. Bayangkan yang meninggal kerana kemalangan. Adakah amaran yang Allah turunkan padanya sebelum itu?

Kerana itulah kita sebagai hamba Allah perlu bersyukur apabila diuji dengan demikian cara. Memang perit untuk menerima, dunia seakan gelap tetapi siapalah kita untuk menolak takdir Ilahi. Nantikan ganjaran yang kita perolehi di atas kesabaran dan ketaqwaan kita kepadaNya. Ganjaran tersebut walau tidak dapat dilihat sekarang, ia menanti kita di akhirat sana. Allah itu Maha Adil. Jangan menangisi nasib yang menimpa diri kerana lebih ramai lagi orang di luar sana yang lebih susah dan siksa hidupnya daripada kita.

Dalam masa yang sama kita berdoa, berikhtiar dan bertawakkal padaNya. Serahkan padaNya setelah kita berusaha. Bukankah secara tidak langsung kita makin dekat dengan Allah? Bukankah itu yang setiap manusia inginkan? Subhanallah.. indah sungguh takdir Allah!

Setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Janganlah berputus asa. InsyaAllah akan dipermudahkan jalan hidup kita. Tetapi andaikata kita tidak sembuh, redhalah dengan qada' dan qadar itu. Allah Maha Mengetahui akan sesuatu. Itu adalah yang terbaik untuk kita. Jangan dibimbangi kepada yang keluarga yang ditinggalkan. Allah sentiasa ada. Allah akan menjaga mereka kerana Dia pelindung kita. Hargailah apa yang kita ada pada hari ini. Hargailah kehidupan ini. Gunakanlah masa yang diberikan sebaik mungkin.

Hmm.. panjang. Memang panjang entry nih.

Apa yang kutulis ini bukanlah hanya untuk pesakit kanser, bukan hanya untuk pesakit. Malah ia terpakai untuk semua umat manusia yang mengalami ujian dariNya. Setiap manusia itu punya bahagian masing-masing. Ada yang diuji dengan kesakitan. Ada yang diuji dengan kemiskinan. Ada yang diuji dengan paras rupa. Dan pelbagai ujian lagi kerana Allah itu Maha Kaya Lagi Maha Berkuasa. Tak lupa juga yang diuji dengan kekayaan. Harta dan kekayaan jua merupakan ujian yang sering dianggap nikmat oleh manusia.


Dan andaikata kesakitan telah berlalu, ujian telah berlalu, istiqamahlah dalam mengerjakan amal kebaikan. Allah telah memanggil kita sekali. Jangan lagi kita lalai untuk membiarkan diri terus hanyut kerana bimbang Allah akan memanggil sekali lagi tanpa memberi peluang lagi..

Wallahua'lam.


1 comment:

Munajah Cinta said...

"semangat dan sepenuh2 keyakinan padaNya adalah kunci segala permasalah.Bersangka baiklah dengan Allah. Allah sesekali tidak akan menyiksa hambaNya. Kerana Dia Maha Penyayang. Ada sebab Dia menguji kita. Mungkin Dia ingin memberikan kita pahala dengan demikian cara. Mungkin juga sebagai kifarah di atas dosa-dosa kita yang lampau"

ALLAHUAKBAR...