Monday, June 21, 2010

pahit manis kehidupan

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasiq membawa sesuatu berita maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu mengenainya - sehingga menyebabkan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan."

(Al-Hujrat : 6)

=========================================================================================

Assalamualaikum ya akhi ya ukhti.

Hasil daripada perkongsian masalah dengan Cik Sri Siantan, saya mendapati bahawa hampir 80% perkahwinan kecundang di tengah jalan atau lebih senang dikategorikan sebagai mengalami kegagalan.


Simpati, empathy, kasihan, sedih, semuanya ada apabila mendapat tahu cerita sebegini. Cerita dimadukan pada usia muda, cerita perceraian. Bergegar tiang Arasy apabila lafaz talak dijatuhkan oleh sang suami.


Salah takkan berpunca daripada sebelah pihak. Pasti berpunca daripada kedua-dua belah pihak. Dan akan wujud satu pihak yang ego enggan tunduk mengalah.
Itulah punca kepada satu perpisahan!

Tidak kurang juga cerita manusia yang ingin berkongsi kasih dengan suami orang. Seakan tidak ada manusia lain di dunia ini. Kenapakah dipilih suami orang untuk dijadikan suami? Sememangnya lelaki dibenarkan beristeri hingga 4 tetapi semua itu bersyarat. Bukan semudah A-B-C. Selidikilah nawaitu dan tujuan perkahwinan sebelum melangkah lebih jauh duhai sahabat..

Pengamatan dan analisis telah dibuat. Penemuan telah dikenalpasti. Kaedah penyelesaian kepada punca permasalahan berantakan rumahtangga juga telah ditemui. Berikut disenaraikan beberapa tips dalam mewujudkan, mengekalkan dan menyegarkan kasih sayang supaya sentiasa mekar seperti di alam percintaan, seterusnya beroleh mawaddah ar-rahmah. (Tidak mahu saya senaraikan tips untuk mendapatkan suami orang kerana bukan itu caranya untuk memenuhi kekosongan hidup, masih banyak cara lain. Dekatilah Allah supaya dirimu tidak jauh terlalai, wa iya'uzubillah)


1) Sayangi Allah terlebih dahulu sebelum menyayangi manusia lain. Jangan sesekali menyayangi manusia melebihi sayangnya dirimu pada Allah. Kerana apabila Allah menjadi yang pertama dalam hidupmu, tiada lagi kesukaran yang engkau rasakan. Hasbunallahu wani'mal wakil..

2) Betulkan nawaitu menyayangi seseorang. Betulkan nawaitu dan tujuan perkahwinan. Kahwin bukan kerana ikut-ikutan. Jauh sekali kerana nafsu. Kelak dirimu akan binasa (Boleh dapatkan melalui pembacaan Aku Terima Nikahnya 1, 2 & 3 karya Ustaz Hasrizal Abdul Jamil).

3) Sayangilah dia kerana Allah. Bukan kerana paras rupanya. Bukan kerana keturunannya. Bukan kerana darjatnya. Bukan kerana hartanya.

4) Sayangilah dia seadanya. Jangan melampau apabila menyayangi seseorang manusia. Kerana dia jua manusia sepertimu. Yang boleh berubah pada bila-bila masa sahaja. Perlu berpegang kepada prinsip tersebut. Kekuatan seseorang itu terletak pada imannya. Imannyalah yang akan membataskan dirinya daripada amar makruf nahi mungkar. Imannya jugak yang akan mempengaruhi emosi dan rasionalnya.

5) Pastikan perkahwinanmu mendapat restu dan redha kedua ibubapamu. Jangan sesekali membelakangkan kedua-dua ibu bapamu. Mereka lebih mengenalimu daripada dia mengenalimu. Mereka menjagamu sedari telapak kakimu sebesar 2 jari sehinggalah dirimu berjaya di dalam kehidupan. Jika lampu merah diberikan, ikutilah. Jangan membangkangnya kerana mereka terlebih dahulu memakan garam daripada dirimu.

6) Carilah pasangan yang sekufu dari segi pendidikan, kedudukan dan dari segala aspek. Supaya dirimu akan bahagia bersama keluarganya dan dirinya akan selesa bersama keluargamu. Kerana perkahwinan itu bukanlah hanya ikatan antara dua insan tetapi perkahwinan adalah ikatan keluarga yang masing-masing dibesarkan dengan tatacara hidup yang berbeza. Persamaan akan ditemui apabila kufuan tersebut diambilkira. Itulah salah satu nawaitu sebuah perkahwinan. Silaturrahim!

7) Sentiasa punya plan B dalam hidup. Dalam erti kata lain, perlu ada persediaan untuk sebarang kemungkinan kerana kita sebagai hamba Allah yang kerdil sama sekali
tidak dapat menjangka nasib kita di masa hadapan. Tidak tahu bagaimana pengakhiran hidup kita.

Bagi yang dianugerahkan perkahwinan yang bahagia, syukurlah pada Allah. Sayangilah pasanganmu kerana Allah. Sayangilah dia seadanya dan terimalah dia seadanya. Tetapi jangan terus mendabik dada sebaliknya banyakkan berdoa kepada Allah agar dikekalkan kasih sayang antara kamu berdua.

Dan jika ditakdirkan pasanganmu tidak dapat membimbingmu, bimbinglah dia
. Jangan menyesali dengan takdir yang menimpa dirimu kerana dialah pilihanmu. Setiap apa yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Allah sayangkan dirimu. Dekatilah Allah. Selidikilah apa rahsia Allah menjadikannya sedemikian. Mungkin kaffarah. Mungkin juga Allah ingin mengangkat darjatmu!

Jika engkau dikurniakan zuriat, ajarlah mereka mengenali Allah. Mereka adalah amanah Allah untuk dirimu. Disenaraikan KPI mendidik anak bagi mendapatkan anak yang soleh/solehah yang saya perolehi di dalam salah satu khutbah Jumaat :

1) Asas utama - kenalkan anak dengan Allah.
2) Jaga sembahyang anak tidak kira sembahyang berjemaah atau bersendirian.
3) Terapkan akhlak yang baik pada anak-anak.
4) Berikan makanan yang halal dan bersumberkan halal dan berzat kepada anak-anak.

Anak inilah yang akan mendoakanmu pabila dirimu telah menemuiNya. Hanya 3 perkara yang akan dibawa pabila menemuiNya.. amal soleh yang dilakukan semasa hidup, ilmu yang bermanfaat digunakan oleh manusia lain dan doa anak-anak yang soleh.


Sama-samalah kita bermuhasabah dan mengingati mati. Hanya dengan mengingati mati engkau akan menyedari hakikat hidup ini. Hidup yang hanya pinjaman. Tiada yang kekal abadi melainkan Dia Yang Maha Besar, Allah Rabbul Jalil.

Wassalam.

No comments: