Sunday, September 23, 2012

hidayah

 "Sesungguhnya tanggungan Kamilah memberi hidayah petunjuk (tentang yang benar dan yang salah)."

(Al-Lail : 12)

===========================================================================================================

Rambut sama hitam. Hati sangat lain-lain. Apatah lagi kalau rambut dah tak hitam. Putih, kuning, oren, karat,..

Cerita halal haram sering dipandang enteng. Susah juga menerangkan kepada manusia sekitar waima mereka yang pernah menjejakkan kaki ke sekolah agama sekalipun.

Berulang kali ditekankan.. carilah yang halal. Carilah yang halal. Yang mana telah tidak diiktiraf kerajaan itu janganlah dijejaki. Mereka yang menjalankan tugas dan tanggungjawab dalam hal ini telah menjalankan tugasnya dengan sangat baik. Oleh itu jauhilah dari yang syubhah.

Lidah ingin benar merasa kenikmatan mungkin, logo halal yang tidak dipapar mahupun logo halal yang tidak diiktiraf dipapar dipandang sepi. Ignorance.

Aiskrim, coklat, roti, snek, kek, minuman, restoren semua dibedal. Ignorance.

Bila ditegur dikatanya, "Aku yakin ia halal. Tak timbul perasaan was-was. Kalau was-was barulah jatuh syubhah" 

Sudah terang lagi bersuluh. Terlalu banyak makanan di atas muka bumi ini. Kenapa makanan itu juga yang dipilih. 

Uh! Degil. Memang degil. 

Makanan yang dimakan itu akan menjadi darah daging. Itu satu hal. Makanan yang tidak halal itu akan mengeraskan hati. Keras hati. Tapi golongan ignorance ini tetap ignorance.

Itu belum masuk soal aurat lagi.

Susah juga apabila menganggap aurat hanyalah rambut. Walau teguran telah dibuat tetapi ia ibarat mencurah air ke daun keladi.

Bosan. Bosan untuk menegur lagi.

Bukan senang menegur dengan berhikmah. Penegur perlu punya ilmu yang mencukupi dan tahap kesabaran yang tinggi kerana perdebatan mungkin berlaku ketika teguran dibuat. Maklumlah, mereka ini cerdik pandai. Kesukaran juga amat jelas apabila yang ditegur adalah dari kalangan kaum keluarga mahupun teman rapat. 

Sesekali terasa juga.. buatlah apa sahaja yang engkau inginkan. Engkau dengan duniamu, aku dengan duniaku. Aku sudah letih menegur. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. 

Bila perasaan letih dan penat ini timbul, hati ini tidak ingin mengambil tahu tentang dirinya. Terasa tawar hati untuk bersua muka, seterusnya kurang komunikasi antara kedua-dua belah pihak kerana tidak tahu bagaimana ingin memulakan perbualan. Lebih buruk lagi, seboleh-bolehnya mengelakkan diri daripada bertemu dengannya. Tidak mahu mengambil tahu tentang apa yang dilakukan. Kerana jika tahu, hati penegur akan kecewa.

Salah. Itu sangat salah. Tapi penegur jua manusia biasa. Ada kala keupayaan untuk menegur itu berada di kemuncak. Ada kala tidak.

Tapi Allah telah berfirman bahawa hidayah itu milik Allah. Bukan milik manusia. Kerana itulah apabila Rasulullah bersedih kerana bapa saudaranya, Abu Talib tidak mengucap dua kalimah syahadah, Allah berfirman bahawa hidayah itu milik Allah. Janganlah bersedih. Tugas Rasulullah menyampaikan. Selebihnya terserah kepada Maha Pencipta.

Bertitik tolak dari situlah, akhirnya penegur hanya mampu berdoa. Hanya apabila punya keupayaan sahaja teguran dibuat. Jika tidak, senjata orang mukmin digunakan.

Subhanallah. Ampunkanlah dosa hambaMu ini. Berikanlah hidayah kepadaku dan kepada seluruh umat Islam, berikanlah kekuatan kepada umat Islam seluruhnya dalam berjihad di jalanMu. Sesungguhnya semua takkan berlaku tanpa izinMu.

No comments: