"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang yang terdahulu sebelum kamu...?"
(Al-Baqarah : 214)
========================================================
Dah 6 tahun berlalu. Tapi pahit getir tak pernah dan tak dapat aku lupakan. Aku ditolak ke OT seawal jam 8.30 pagi di Hospital Kuala Lumpur.
Najwa merupakan anugerah Allah yang cukup istimewa buat kami sekeluarga. Lahir pada usia 30 minggu dengan berat 1.8kg, Najwa membesar seperti kanak-kanak lain. Walaupun lahir sebagai bayi pramatang, Najwa membesar dengan penuh kematangan.
Sewaktu bayi, malam kami tidak pernah diganggu. Tidur seawal jam 9 malam. Bangun seawal jam 6 pagi. Tidak banyak ragam. Menangis hanya ketika lapar, tidur tak perlu ditepuk-tepuk. Di kala matanya mengantuk, terus dipejamkan. Tidak meminta untuk dibelai. Biar gamat suasana, matanya tetap pejam diulit mimpi indah seorang bayi. Itulah Najwa. Kata Mak, Najwa seolah memahami apa yang berlaku. Memang, Najwa sangat memahami. Dan sifatnya itu dibawa hingga sekarang.
Membesar Najwa hari ke hari. Boleh ditinggalkan bermain sendiri tanpa minta untuk diteman. Jarang sekali melihat dia menangis. Hati dan jiwanya cukup kental.
Orangnya berdikari, tidak manja, tidak suka meminta tolong malah suka menolong. Kalau dalam kereta ringan tangannya memicit bahu kami suami isteri tanpa diminta. Pipi kami dicium. "Najwa sayang Ayah", "Najwa sayang Mama".
Kalau aku baring di tilam, cepat saja dia datang dan jejarinya yang runcing halus mulus memicit kakiku. "Mama letih ke? Najwa picit ye. Mama rehatla..", berkaca mataku melihatkan sifatnya sebegitu. Kurniaan Allah yang sangat unik.
Tak salah kalau aku katakan, Najwa memang anak Ayah. Mungkin kerana kesihatanku kurang mengizinkan ketika usia Najwa kecil menjadikannya begitu. Tapi, aku tetap idolanya. Apa sahaja yang aku lakukan, apa sahaja yang aku pakai, itulah ikutannya.
Menjadi kesayangan Tok dan Wan serta keluarga yang lain lebih-lebih lagi Ayah Ngah. Seolah ada kimia antara Najwa dan abang aku.
Orangnya peramah. Percakapannya petah. Tutur katanya sering membuat orang tersenyum. Suka bercerita dan sering membuat kami tertawa termasuk abangnya. Hari pertama memulakan tadika ketika umurnya 5 tahun pun sudah berjaya mendapat kawan. Malah meminta supaya aku pulang. "Nanti Mama penat berdiri. Adik ok ni Mama", sambil tersenyum.
Itu baru sedikit tentang Najwa yang mampu kucoretkan. Terlalu banyak keistimewaan Najwa. Bila memandang hasil tangan suamiku di bawah, mataku berkaca lagi. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui istimewanya 'Bisikan Rahsia'ku ini buat kami sekeluarga.
Selamat menyambut ulangtahun ke-6 Najwa sayang!
3 comments:
Sedih tapi bangga.Mata turut berkaca.Allah memberi mu 1 ujian getir sahabatku tapi Allah membalasnya dengan 1 anugerah terindah.Happy Birthday Najwa!!!
p/s: najwa layan Fareeda n Pearl haya juga eh???hehehe
anugerah ilahi yang penuh keajaiban ! hanya yang terpilih sahaja merasai pengalaman istimewa ini..allahu'akbar!
terima kasih makcik2 sekalian. oopss.. auntie sekalian ;-)
Post a Comment