Thursday, July 28, 2011

tangan yang memberi

"Teman-teman akrab pada hari itu sebahagiaannya menjadi musuh sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertaqwa."

(Az-Zukhruf : 67)

=========================================================

Weekend
lepas kami ke Old Town White Coffee Kopitiam Bangi. Ni antara OTWCK yang disahkan halal oleh Jakim. Satu lagi OTWCK yang ada sijil halal diiktiraf Jakim ialah kat Shah Alam. Jauh jugak dari rumah aku, tapi mencari yang halal itu wajib kan.

Takpelah jauh sikit pun dari rumah.

Sambil-sambil makan aku nengok orang keliling. Dah macam A. Samad Said pun ada aku ni. Memerhati gelagat dan tingkah laku orang. Tapi A. Samad Said tu ada jugak hasilkan novel. Aku ni..

Ada yang ngadap notebook dan headphone di telinga. Liuk lentuk kepala melayan halwa telinga.
Ada yang jua ngadap notebook tetapi tanpa headphone sedang tersenyum-senyum sendiri. Sedang chatting barangkali.
Ada yang bersembang dan makan bersama kawan-kawan.
Ada yang menikmati selera bersama kaum keluarga.
Ada yang hanya minum bersama geng anak-anak muda dan berborak kosong sambil diiringi hilai ketawa.

Seronok sungguh mereka.

Tak lupa juga ada yang datang dari meja ke meja untuk menjual keropok.

Hatiku tersentuh.

Tak sampai hati nak suap mi udang yang aku mintak tadi.

Kami berempat menikmati makanan yang enak-enak. Anak-anak siap bersuap-suap makan. Ada insan yang menagih memohon belas ihsan insan lain untuk membeli keropoknya untuk perbelanjaan diri dan keluarganya mungkin. Bagaimana dengan anak-anak mereka? Berpeluangkah merasa makanan seenak aku dan anak-anak aku makan?

Ya Allah.. meruntun hatiku.

Apalah agaknya yang mampu dibeli untuk persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang sebulan lagi. Sedang insan lain bergembira membeli belah sakan, membeli pakaian berjenama mahal-mahal usai disogok oleh jualan mega satu Malaysia. Sedang mereka? Mampukah untuk membeli waima sepasang baju melayu? Atau mereka tidak pernah mengerti erti hari raya?

Sama ada dia hidup susah atau senang, bercakap benar atau hanya lakonan untuk meraih simpati, itu bukan urusan aku. Itu antara dia dengan Allah. Urusan aku sebagai teman seagama ialah membantu mereka.

Ya Allah.. memang aku takleh nak telan mi udang tu bilakala melihat mereka bergerak dari meja ke meja.. seribu macam perasaan bersarang di hati. Engkau lindungilah mereka Ya Allah. Jika mereka lalai dari mengingatiMu, berikanlah hidayah kepada mereka Ya Allah. Jadikanlah mereka hambaMu yang patuh kepadaMu. Berikanlah kesenangan kepada mereka Ya Allah. Jadikanlah zuriat mereka insan yang soleh dan solehah. Amin.

Memang benar. Hidup ini ada yang susah dan ada yang senang. Itulah hakikat sebuah kehidupan yang sementara. Kehidupan yang penuh pancaroba. Kehidupan yang kadangkala tidak berhati perut.

Yang susah perlu berusaha untuk mencapai kesenangan. Itu kewajipan yang sudah ditetapkan. Kejayaan takkan datang bergolek tanpa usaha. Tetapi yang senang jangan lupa untuk membantu yang susah. Kerana itulah Allah mencipta pelbagai kaum, taraf hidup, paras rupa dan agama yang berbeza. Supaya saling bantu-membantu, tolong-menolong. Simbiosis.

Syukur aku pada Allah. Walaupun kami bukanlah di kalangan kaya raya yang hidupnya mewah, tapi kami masih mampu untuk menikmati apa yang diingini. Syukur jua Allah tidak memberi kekayaan kepada kami berlebih-lebihan. Takut kami lupa diri. Takut kami riak. Wa iya'uzubillah. Sesungguhnya Engkau Maha Penyayang Ya Allah..

Bukan aku tak pernah terserempak atau terjumpa dengan insan sebegitu. Sering malah berulang kali. Tetapi bebaru ni sungguh terkesan di hati. Ya Allah.. mungkin aku telah banyak berbelanja tanpa memikirkan kepada yang memerlukan. Kerana itulah Allah mempersembahkan orang sebegini dan menitipkan perasaan sebegini kepadaku. Subhanallah..

Inilah maksud arwah Ayah.. "Hidup perlu wasatiah. Sentiasa doakan rezeki yang melimpah ruah kepada kita daripada Allah. Dalam pada itu jangan sesekali lupa untuk berdoa moga Allah menitipkan perasaan kasih sesama Islam kerana dengan kasih sayang itulah hati kita sentiasa merindui untuk membantu rakan-rakan sesama Islam. Sesungguhnya rezeki yang kita perolehi itu bukanlah hak kita mutlak. Ada bahagian untuk orang lain. Itu hanyalah ujian dari Allah untuk melihat ketaqwaan kita kepadaNya".

"Anak-anak.. jangan sesekali menunjukkan lebih yang kita ada. Jangan. Bukan kita yang kaya. Kita miskin papa kedana. Yang kaya ialah Allah. Allah Yang Maha Kaya. Kerana semua yang ada di muka bumi ini malah alam cakerawala sekalipun adalah milik Allah. Allah hanya meminjamkan sekejap milikNya kepada kita untuk menguji kita. Bila-bila masa sahaja Dia boleh ambik kalau Dia nak. Berdoalah moga Allah sentiasa melembutkan hati kita apabila melihat kesusahan orang lain. Kelembutan hati itulah membolehkan kita membantu orang yang memerlukan. Subhanallah.."

"Anak-anak.. sucikanlah jiwa dengan amal dan taqwa. Ingatlah Allah sentiasa. Ingatlah bahawa kehidupan ini hanya sementara. Tiada yang kekal."

"Ayah pun tak kekal ke?", tanya aku disertai kerisauan.

"Tak. Ayah pun manusia biasa. Kita semua manusia biasa, hamba Allah yang akan kembali kepadaNya satu hari nanti", jawab arwah Ayah.

"Walaupun satu hari nanti Ayah dah takde, ingat pesan Ayah.. berbuat baiklah kepada yang memerlukan lebih-lebih lagi golongan miskin yang memerlukan kerana insan yang memerlukan ini jiwanya ikhlas. Tidak mengharapkan sesuatu daripada kita. Dan apabila kita berbuat baik janganlah mengharapkan balasan daripada insan yang kita tolong kerana kuasa Allah itu amat luas. Jika kita ikhlas membantu keranaNya, pertolongan dariNya pasti datang dan pertolongan yang datang tu tak terjangkau oleh akal kita. PertolonganNya mengatasi bantuan yang kita berikan kepada yang memerlukan."

Dan.. suatu hari itu telah berlaku. Ayah telah kembali kepadaNya untuk selama-lamanya. Tiada lagi kata-kata hebat Ayah. Tapi percayalah Ayah.. kata-kata hebat itu tak pernah hilang daripada diri anak Ayah ini..

Al-Fatihah untuk arwah Ayah, Hj. Ibrahim bin Mohamad. Moga roh Ayah dicucuri rahmat dan digolongkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin.

Entah kenapa.. sejak kebelakangan ni sayu sungguh hati aku. Makin hampir kepada Ramadhan, makin sayu hati ini..

No comments: