Sunday, March 20, 2011

melentur buluh

"Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta."

(Al-An'am : 116)

=========================================================

Kebiasaannya aku akan sampai rumah dalam pukul 7 - 7.30 malam. Cuma kebelakangan ini menggila sedikit, pernah mencecah
sehingga 10 malam. Lebih menggila lagi terkadang tidak sempat mengisi perut untuk makan tengahari.

Jarak pejabat ke rumah bukanlah jauh mana. Tapi bukanlah dekat hingga sepelaung boleh kedengaran. 15 minit menaiki kenderaan dengan kelajuan 110km/j pasti boleh tiba dengan jayanya.


Bukan tidak ada usaha dan cita-cita untuk pulang
on-time, tetapi jarang sekali dapat berlaku keadaan sebegitu.

Terkilan? Semestinya. Tapi aku cuba buang ia jauh-jauh. Setkan balik nawaitu. Aku bekerja kerana Allah. Kerana Allah untuk anak-anak. Itu pengubat jiwa supaya kekesalan dan rasa bersalah pada anak-anak tidak timbul di dalam hati aku.


Suatu petang baru sahaja aku tiba di pintu rumah, aku lihat Naim berdiri di hadapan Ayah. Kepala tunduk. Pasti ada sesuatu kesalahan yang Naim lakukan dan Ayah sebagai ketua keluarga mengambil peranan dalam menegur anak-anak. Aku tak masuk campur kalau Ayah dah
in the picture.

Tapi kali ni ada lagi satu kesilapan yang Naim lakukan. Pada mulanya aku cuba mencungkil daripada Naim tapi nampaknya tidak berhasil.
Tak boleh. Bukan ini caranya.

Selesai sembahyang Maghrib, aku memanggil Naim. Naim duduk di hadapan aku. Aku masih bertelekung sementara Naim masih berkopiah. Aku cuba praktikkan apa yang arwah Ayah buat pada aku, terkesan hingga sekarang - Menegur anak biarlah berhemah. Dekati dirinya. Rasional. Tenang. Dan selesai sembahyang ialah waktu yang paling tenang. Kata arwah Ayah.

Aku cuba
slowtalk. Sekelumit meninggi suara tidak terkeluar dari mulutku. Tangan kanan aku memegang bahu kiri Naim dan tangan kiri aku memegang bahu kanan Naim. Aku mulakan bicara..

"Naim.. Mama cuma ada 2 orang anak, Naim dan Najwa. Dan Mama sayang sangat dua-dua anak Mama ni. Mama tau Naim Mama ni baik (
and I meant - sebab semua budak ni tak berdosa - bagaimana dia dididik begitulah hasil yang diperolehi). Sayang Mama pada Naim dan Najwa sama, takde beza walau sedikitpun. Kalau Mama tegur Naim tu Naim tau kenapa kan?"

Mata Naim dah berkaca.
He's so soft-hearted.

"Sebab Mama sayangkan Naim. Mama nak Naim jadi anak soleh, berjaya dan selamat di dunia dan akhirat. Supaya Allah sayangkan Naim. Bila Allah sayangkan kita, Allah akan sentiasa menjaga kita sayang. Orang sekeliling pun sayangkan Naim. Supaya Naim boleh jaga Adik, bimbing Adik. Anak-anak Mama nilah harapan Mama, dunia dan akhirat. Sayang Mama pada anak-anak Mama melebihi segala-galanya, melebihi sayang Mama pada diri Mama sendiri sayang. Mama sanggup berkorban nyawa asalkan anak-anak Mama selamat. Akan Mama serahkan anak-anak Mama pada Allah.."


Tanpa dipinta, airmata aku pun mengalir.
Airmata Naim mengalir lebih deras daripada aku. Naim merangkul aku. Erat. Kami berpelukan.

"Naim mintak maaf Mama. Naim janji Naim takkan buat lagi. Naim janji. Naim sayang Mama. Mama jangan nangis. Naim taknak Mama nangis. Naim takkan buat Mama nangis lagi. Naim nak jadi anak yang baik. Naim nak jadi anak harapan Mama. Naim nak Allah sayangkan Naim.."

Airmata aku jua laju bagaikan air terjun. Aku mencium Naim. "Allah sayangkan Naim sayang. Mama pun sayangkan Naim. Naim tak berdosa, Naim cuma buat salah sikit je. Naim dah mintak maaf, salah Naim tu dah takde lagi. Naim anak Mama yang baik kan.."


Entah kenapa hati aku begitu tersentuh. Aku tak bisa mengalirkan airmata bila berhadapan dengan sesiapa walaupun pada ketika itu kalau digambarkan
virtual me sudah berbaldi-baldi airmata bercucuran. Kematian arwah Ayah pun tidak aku mengalirkan walau setitik airmata bila berhadapan dengan orang walaupun hanya Allah yang tahu perasaan dan emosi aku pada ketika itu. Begitu jua ketika aku sakit. Tidak pernah aku gambarkan secara fizikal kesakitan yang aku alami kepada sesiapa yang datang melawat.

Tapi aku kalah dengan anak, yang aku namakan bersempena nama salah satu syurga Allah ini.


Aku bukan sedih dengan apa yang Naim lakukan. Tidak. Airmata seorang ibu yang aku keluarkan bukan kerana sedih dengan perlakuan Naim. Naim hanya melakukan kesilapan kecil yang pada orang lain mungkin tidak kelihatan.

Tangisan aku kerana hiba. Mungkin kerana terlampau menyayangi anak. Itulah jadinya. Impian untuk melihat Naim berjaya di dunia dan akhirat. Melentur buluh biarlah dari rebung. Kerana aku akan dipersoalkan di Padang Mahsyar nanti tentang tanggungjawab aku sebagai ibu. Ya Allah..

Itu baru kasih sayang sesama manusia. Belum lagi kasih sayang Rasulullah kepada umatnya. Belum lagi kasih sayang Allah kepada hamba-hambaNya.
Subhanallah..

Aku kagum melihat ibubapa yang berjaya mendidik anak hingga berjaya. Anak-anak yang punya budi pekerti mulia, sedar dirinya sebagai hamba Allah, memandang dengan mata hati, tahu membezakan yang baik dan buruk, tahu menjaga aurat, tahu menjaga diri dan batas-batas pergaulan,.. bukan hanya berjaya di dunia malah berjaya di akhirat. Lebih-lebih lagi jika ibubapa yang punya anak yang ramai dan semuanya berjaya. Memang aku kagum. Sewajarnya digelar ibu mithali!

Semoga Allah memberi kekuatan dan peluang kepadaku untuk mencorakkan kain-kain putihku ini ke arah hidayahMu. Semua ini takkan berlaku tanpa izinMu Ya Allah..

1 comment:

Munajah Cinta said...

very precious moment...bila seorg ibu memegang bahu/tangan anak.memeluk erat anak sambil menyampaikan amanat & amanah buat si anak :)